Latar Belakang Tabung Baitulmal Sarawak Tabung Baitulmal Sarawak

Salah satu harapan besar umat Islam di Sarawak sebaik sahaja mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963 adalah untuk melihat peningkatan dan kebangkitan syariat Islam di tanah bekas jajahan Brooke ini. Justeru Tabung Zakat dan Fitrah telah ditubuhkan pada tahun 1966 melalui Undang-undang Zakat 1966 atas usaha Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud.

Tabung ini telah berjaya membiayai ramai pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di pusat-Pusat Pengajian Tinggi Islam di dalam dan di luar negeri, di samping membantu dalam perkara-perkara kebajikan dan keagamaan di kalangan umat Islam di Sarawak. Sebelum kewujudan Tabung Zakat dan Fitrah, masyarakat Islam secara kelazimannya menunaikan kewajipan berzakat dengan menyerahkan secara terus kepada fakir miskin atau kepada guru-guru agama, bidan-bidan kampung dan sebagainya.

Sesuai dengan perkembangan negara dan keperluan umat Islam yang semakin bertambah untuk menghadapi zaman yang penuh cabaran, maka sebagai satu kesinambungan daripada tabung itu, maka tertubuhlah Tabung Baitulmal Sarawak pada tahun 1984 di bawah Ordinan Majlis Islam Sarawak (Pemerbadanan) (Pindaan) 1984.

Bermula dari tarikh penguatkuasaan peruntukan ordinan tersebut, Tabung Baitulmal Sarawak bertindak sebagai wakil Majlis Islam Sarawak yang bertanggungjawab dalam pengurusan zakat berperanan menyediakan kemudahan mengutip, mengagih dan mengurus (mentadbir) Dana Zakat serta Dana Baitulmal di samping menyedarkan masyarakat Islam tentang kewajipan berzakat.

Rentetan itu, sebagai persiapan untuk menempuh ledakan perubahan dalam abad ke 21, Penyusunan Semula Pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak telah diluluskan di mana pada 15 Disember 1998, Pengurus Besar telah dilantik untuk mengetuai Pengurusannya. Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada bulan November 2001 turut meluluskan Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang mana secara langsung menambahkan lagi peranan Tabung Baitulmal Sarawak sebagai sebuah institusi zakat.